kalam pembuka bicara

Tuesday, January 24, 2012

Lulus Ujian di balas syurga



SATU keistimewaan yang disediakan Allah kepada ahli tauhid dan mereka yang mengerjakan kebaikan ialah syurga, iaitu tempat kenikmatan bagi orang yang takut dengan sebenar-benarnya akan keagungan Allah, takut berdepan dengan Rabbul Jalil pada hari yang tidak berguna harta dan anak-pinak.

"Hari yang harta benda dan anak-pinak tidak dapat mem berikan pertolongan sesuatu apa pun, kecuali (harta benda dan anak pinak) orang yang dapat menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (daripada syirik dan penyakit munafik)." (as-Syu'arak:88-89)

Oleh kerana syurga adalah tempat yang istimewa, untuk masuk ke syurga juga bukanlah mudah, malah golongan yang layak masuk juga adalah golongan istimewa, sabar dengan ujian dan menempuh kehidupan dunia dengan istiqamah.

"Apakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga se dangkan belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di kalangan kamu dan belum nyata orang yang sabar." (Aali Imran: 142)

Selepas diuji, hanya orang yang mempunyai ciri-ciri tertentu yang layak masuk syurga Allah. Antara nya yang dinyatakan dalam al-Quran ialah:

Iman - Iman ialah menyatakan dengan lidah, mem benarkan secara yakin dengan hati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian dengan anggota badan, bahawa Allah itu ada, Maha Esa dan Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan Maha Suci Allah dari sifat kekurangan.

Tanda seseorang itu beriman ialah hati mereka gementar apabila diingatkan mengenai Allah (iaitu hukum-hukumnya), iman mereka bertambah apabila dibacakan ayat Allah, mereka bertawakal kepada Allah, mereka hanya menyembah Allah serta mampu menegakkan yang hak dan kewajipan.

"Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal." (al-Anfaal:2)

Amal kebaikan - Perbuatan baik atau amal soleh ialah melaksanakan dan memelihara ajaran agama Allah, tidak melakukan dosa dan jika melakukan dosa yang tidak sengaja segeralah memohon keampunan daripada Allah.

"Dan orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa mereka selain Allah. Dan mereka tidak menerangkan perbuatan kejinya itu sedangkan mereka mengetahui." (Ali Imran:135)

Soleh ialah orang yang mengerjakan segala amal usaha yang mendatangkan kebahagiaan untuk dirinya, untuk agamanya, bangsanya, tanah airnya, negaranya dan untuk manusia semuanya. Amal soleh ialah segala hal yang mendatangkan kebaikan dunia dan akhirat.

Takwa - Takwa ialah memelihara diri dari sesuatu yang lain atau takut kepada Allah dan beramal dengan mentaatinya. Menurut istilah syarak taqwa ialah menjunjung perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Dengan perkataan lain, takwa bermaksud meninggalkan semua larangan Allah dan melaksanakan segala peraturannya serta selalu taat kepadanya sesuai dengan kemampuan.

Allah memerintahkan hamba-Nya supaya melakukan ibadat untuk mendidik dan membersihkan jiwa dan melarang perbuatan maksiat untuk membersihkan kekotoran jiwa.

"Sesungguhnya orang yang bertakwa itu di dalam syurga (taman-taman) dan sungai-sungai, di tempat yang disenangi di sisi tuhan yang berkuasa." (al-Qamar:54-55)

Al-birr - iaitu melakukan kebajikan. Ertinya melakukan amal bakti atau kebajikan terhadap Allah mahupun ling kungannya. Orang yang melakukan kebajikan disebut sebagai “abrar”.

Golongan "abrar" mesti mengakui kebenaran wujud pen cipta iaitu Allah sebagai inti rukun iman. Demikian juga membenarkan dengan yakin terhadap rukun iman yang lain.

Al-birr juga bererti taat kepada kehendak Allah, baik melaksanakan perintah mahupun menjauhi larangannya. Ia juga bererti melakukan kebajikan dan derma, tidak berdusta, selalu menepati janji yang dibuat.

"Sesungguhnya orang yang berbuat kebajikan minum dari gelas yang campurannya ialah air kapur." (al-Insan:5)

Kapur ialah nama satu mata air di syurga yang airnya putih dan baunya sedap serta enak sekali rasanya.

Benar - benar ialah jujur atau bersikap benar. Orang yang jujur ialah orang yang menyatakan sesuatu sesuai dengan hakikat sebenar, tidak mengurangi atau menambah fakta sehingga orang yang mendengar akan memperoleh gambaran yang benar mengenai hal yang dinyatakan.

Kejujuran itu adalah kewajipan yang perlu ditaati sama ada dalam hubungan dengan Tuhan mahu pun hubungan sesama manusia.

Menyerah diri kepada Allah, tawakal dan taslim - Mak sudnya ialah menyandarkan diri kepada Allah dalam meng hadapi suatu kepentingan, bersandarkan kepadanya dalam waktu kesukaran, teguh hati ketika ditimpa bencana dengan jiwa yang tenang dan hati yang tabah.

Dengan pengertian lain - menyerah diri kepada qada' dan qadar selepas berusaha sekuat mungkin, sesuai dengan kewajipannya sebagai manusia.

Sabar - Orang yang sabar ialah orang yang teguh dan tahan menghadapi pengaruh hawa nafsu. Orang yang sabar juga tahan derita ujian dengan reda dan ikhlas serta berserah diri kepada Allah.

Islam memandang sabar adalah tiang iman, hiasan manusia dan jalan yang membawanya ke peringkat kehidupan yang tenang dan tenteram. Sabar adalah satu cara hidup golongan terawal terutama kalangan nabi dan ilmuan.

"Hanyalah disempurnakan orang-orang yang sabar itu balasan mereka tanpa hitung (iaitu syurga)." (az-Zumar:10)

0 comments:

Post a Comment