kalam pembuka bicara

Sunday, July 3, 2011

Tazkirah : Kisah lelaki yang berbohong

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan
pada suatu hari ada seorang telah datang berjumpa dengan Rasulullah
S.A.W. kerana hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua
kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata :
"Ya Rasulullah. Sebenarnya hamba ini selalu sahaja berbuat dosa dan payah
hendak meninggalkannya." Maka Rasulullah menjawab : "Mahukah engkau
berjanji bahawa engkau sanggup meninggalkan cakap bohong?"
"Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu singkat. Selepas itu, dia pun pulanglah ke
rumahnya.

Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat
terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri,
berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama
Islam, dia sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab
itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah S.A.W.
Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W. lelaki itu berkata di
dalam hatinya :
"Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah
itu."
Maka setiap kali hatinya terdorong untk berbuat jahat, hati kecilnya terus
mengejek.
"Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila ditanya
oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau berbohong kepadanya" bisik hati kecil.
Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan
Rasulullah S.A.W. dan setiap kali pulalah hatinya berkata :
"Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati
janjiku padanya. Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti aku akan
menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan....sesungguhnya di
dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat
berharga."

Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di
dalam perjuangannya menentang kehendak nalurinya. Menurut hadis itu lagi,
sejak dari hari itu bermula babak baru dalam hidupnya. Dia telah berhijrah
dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh
Rasulullah S.A.W. Hingga
ke akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin
yang soleh dan mulia.

0 comments:

Post a Comment